Monday, March 28, 2011

~~Manisnya Rumahtangga~~

Setiap pasangan yang berkahwin, pasti inginkan kemanisan yang berpanjangan dalam rumahtangga yang dibinanya. Persefahaman dan sikap toleransi antara suami isteri amat penting dalam memastikan kerukunan di dalam sesebuah rumahtangga. Pelbagai masalah akan timbul baik dari segi kewangan, cara kehidupan, dan sebagainya. Tetapi setiap pasangan haruslah bersikap terbuka dan menerima segala perubahan dengan positif. Bagi mengekalkan kemanisan tersebut, anda boleh cuba mengamalkan sepuluh tips berikut:

1. Ciuman – Mulakan setiap hari baru anda dengan ciuman. Ciuman merupakan hadiah yang paling berharga untuk dihadiahkan kepada pasangan anda. Dengan ciuman anda akan rasa dihargai oleh pasangan anda.

2. Cincin perkahwinan – Pakailah cincin perkahwinan anda setiap masa. Anda akan berasa dekat dengan pasangan anda setiap kali melihat cincin tersebut.

3. Makan malam atau bercuti- Rancangkan makan malam atau bercuti ke tempat-tempat menarik bersama pasangan anda, sekurang-kurangnya sebulan sekali, bagi merapatkan lagi hubungan anda suami isteri.

4. Perubahan – Setiap mereka yang mendirikan rumahtangga pasti akan mengalami perubahan dari segi fizikal dan mental. Ini kerana mereka akan terikat dengan ibubapa, isteri, anak-anak, masalah kewangan, kerja dan sebagainya. Oleh itu anda perlu menerima dengan positif perubahan tersebut.

5. Adab – Dalam menjaga keharmonian berumahtangga, anda harus beradab (menghormati) pasangan anda. Adab itu perlulah dijaga, supaya tidak menyakiti hati pasangan anda.

6. Lemah-lembut dan berbudi bahasa – Bagi kaum isteri, berlemah-lembutlah dalam perbuatan dan berbudi bahasalah dalam percakapan. Suara dan kata-kata yang lembut akan membuatkan suami anda rasa disayangi.

7. Hadiah – Berikan hadiah kepada pasangan anda sewaktu hari-hari pentingnya, seperti hari lahirnya, valentine, hari ulangtahun perkahwinan dan sebagainya. Apabila anda menghadiahkan sesuatu pada hari bermakna pasangan anda, mereka akan merasakan anda sentiasa mengingati hari tersebut.

8. Senyum – Kata orang senyum itu sedekah, jadi tidak ada salahnya jika anda tersenyum pada pasangan anda setiap hari, bagi menyatakan rasa kasih dan sayang anda kepadanya.

9. Sentuhan – Sentuhan boleh menyatakan perasaan anda kepada pasangan anda. Jika anda tidak dapat meluahkan perasaan sayang anda dengan perkataan, luahkan dengan sentuhan. Pasti pasangan anda akan memahaminya.

10. Impian – Setiap orang ada impiannya, begitu juga bagi mereka yang telah berumahtangga, pasti ada impian yang masih belum tertunai. Ceritakan impian anda kepada pasangan anda, supaya dia dapat membantu anda dalam mencapai impian tersebut.

Anda pasti ingin dihargai dan menghargai. Selamat mencuba tips-tips ini, semoga anda akan beroleh kemanisan yang berpanjangan dalam rumahtangga anda. Selamat mencuba!

Your Partner will love You More!


No comments:

Post a Comment